Tuesday, February 15, 2011

Rasulullah saw Pencetus Transformasi Ummah

Perutusan Maulidurrasul saw 1432H- USTAZ NASRUDIN HASSAN AT-TANTAWI



1. Dunia ini pernah gelap gelita tanpa cahaya hidayah. Penghuninya hidup berpelitakan nafsu dan syahwat. Sang perkasa menindas marhaen sementara sikaya menguasai fuqara' . Manusia berpetualang dengan hukum rimba. Tiada nilai kemanusiaan jauh sekali nilai intergriti . Arak membuih merosakkan aqal, pelacur dilanggan meruntuhkan maruah. Penipuan dan penindas menjadi rutin bermasyarakat. Siapa licik dialah cerdik. Kualiti orang kenamaan mereka terletak pada ketajaman lidah yang mampu melukakan hati dan perasaan insan yang lain.

2. Dunia kala itu dijolok sebagai jahiliyah. Biar kaya, biar pandai, biar kuat, biar berkuasa penghuninya, namun mereka adalah jahiliyyah. Justeru mereka tiada pedoman dan terhindar dari petunjuk Tuhan yang Mencipta, agar hidup mereka sejahtera, harmoni, aman, selamat dan bahagia.

3. Kasih sayang dan kasihan belas Tuhan yang Maha Pencipta telah mengutuskan Muhammad saw sebagai Rasul ummah untuk membawa satu perubahan dasar dan prinsip yang utama dalam kehidupan manusia. Berbekalkan Kitab Petunjuk [Al Quranul Karim] dan kemuliaan peribadi [akhlak] , Rasul al Amin ini meredah cabaran dan halangan yang bertolak dari dendam Yahudi dan Nasara serta kebodohan golongan Musyrikin .

4. Rasulullah saw hadhir sebagai Duta Penyelamat dan Kasih sayang bersama agenda menyelamatkan ummah dari murka Allah swt sekaligus mengangkat martabat kemanusiaan mereka agar tidak lagi terperangkap di bawah tempurung jahiliyyah. Sekurang - kurangnya 10 agenda perubahan besar digerakkan oleh Rasulullah saw :

Pertama : Aspek Aqidah, dari syirik kepada tauhid
Kedua : Aspek Akhlak, dari fasiq kepada soleh
Ketiga : Aspek Ideologi, dari jahiliyyah kepada Islam
Keempat : Aspek Tamadun, dari hamba kepada daulat
Kelima : Aspek Sosial, dari bathil kepada haq
Keenam : Aspek Pemerintahan, dari zalim kepada adil.
Ketujuh : Aspek Ekonomi, dari monopoli kepada agihan
Kelapan : Aspek Politik, dari rakus kepada kesaksamaan
Kesembilan : Aspek Ilmu,dari jahil kepada membaca [alim]
Kesepuluh : Aspek Kekeluargaan, dari kebencian kepada kasih sayang [mawaddah]

5. Menggerakkan agenda perubahan ini, Rasulullah saw berdepan dengan 1001 tekanan dan ancaman seperti :
buang daerah
penjara
bunuh
sukar
jauh perjalanan.
Namun Rasulullah saw tidak pernah menyerah kalah sebaliknya mengorbankan segalanya demi melihat tercetusnya satu perubahan besar dalam hidup masyarakat jahiliyyah pada waktu itu.

6. Pelbagai pendekatan dan kaedah dakwah digerakkan oleh Rasulullah saw untuk meledak satu kebangkitan total dari ummat manusia agar berani dan nekad untuk bangkit menolak cara hidup 'lama" yang bergelumang dengan rasuah, riba, arak, judi, khurafat, penindasan, kezaliman, penipuan dan 1001 kepincangan hidup yang tidak berlandaskan sistem moral yang baik.

7. Rasulullah saw terpaksa menelan segala kepahitan berjuang, sungguhpun demikian Baginda saw tidak pernah mengalah justeru menyedari bahawa inilah sunnatullah dalam perjuangan untuk mendaulatkan syariat Allah swt. Nabi - nabi terdahulu telah melakar sejarah dalam episod perjuangan mereka yang matlamat dan cabarannya serupa untuk mentauhidkan Allah Jalla wa A'ala.

8. Sempena menyambut ulangtahun keputeraan Rasul saw, sayugianya kita menghayati ruh perjuangan Baginda saw dalam menggerakkan kesedaran dan membangkitkan keinsafan menolak regim jahiliyyah moden yang masih mengekalkan warisan jahiliyah kuno dalam corak kehidupan hari ini.

9. Mudahnya menafsirkan asas perjuangan Baginda saw ialah menentang mungkar dan menegakkan syariat dengan dakwah yang penuh hikmah. Sementara kemungkaran itu bukan sahaja pada keruntuhan moral seperti pergaulan dan seks bebas tetapi juga kemungkaran di dalam ekonomi yang memerangkap masyarakat dalam riba, rasuah, monopoli dan lingkaran kekayaan negara dikalangan pembesar. Kemungkaran juga berlaku dalam politik seperti penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan amanah rakyat.

10. Negara kita turut menerima kesan tempias dengan kemungkaran - kemungkaran tersebut. Oleh kerana terlalu lama membiarkan ia berlaku sehingga mengjangkau lebih 50 tahun sejak negara ini merdeka, akhirnya tempias itu telah membuatkan negara kita kini basah kuyup dengan kemungkaran tersebut. Ummat yang menyambut ulangtahun keputeraan Rasul saw mesti bangkit menjiwai dan melandasi perjuangan Rasul saw meledak gelombang perubahan total ke arah peradaban yang diredhai oleh Allah swt. Tidak hanya berselawat dan berarak dengan sampin dan tanjak yang tidak mempunyai nilai sebuah transformasi.

Wednesday, February 9, 2011

Mengapa Valentine Disanjung tetapi bukan Keperibadian Rasulullah Dijunjung?


Sebut saja bila tarikh Valentine’s Day,??
Untuk apa Valentine’s Day ini disambut??
Hadiah apa untuk diberikan kepada kekasih tahun nie??
Jawapannya sememang telah ada pada setiap mereka yang begitu mementing hari keramat palsu ini.

Begitulah betapa dasyatnya penangan Valentine’s Day yang telah lama menular di kalangan masyarakat kita terutamanya mereka yang beragama Islam. Itulah tipu daya orientalis-orientalis barat agar kita sentiasa menerima tanpa berfikir di sebalik ini semua. Cukup licik sekali mainan mereka sehinggakan kita menganggap Velentine’ Day hanyalah tanda kita menghargai orang yang kita sayang dengan sekadar memberi sejambak bunga, saling betukar kad ucapan, memberi hadiah berupa coklat yang dihiasi perasaan cinta, dan lain-lain lagi.

Bagi Che Ngah, tahun 2011 ini begitu menarik sekali kerana suatu pertembungan yang tidak pernah dijangka oleh sesiapa pun. Itulah dia Valentine’s Day mengikut kiraan Masihi dan Memperingati Kelahiran Kekasih Allah, Nabi Muhammad s.a.w mengikut kiraan Hijr. Agak menarik juga apabila media tidak dapat mempromosi Valentine’s Day secara komersial seperti tahun-tahun yang lepas dan begitu terkilan apabila usaha untuk mengajak masyarakat mencontohi keperibadian Rasulullah hanya sekadar melepas batuk di tangga atau dengan bahasa mudahnya “ala kadar saje”.

Mungkin ramai diantara kita sudah tahu sejarah di sebalik Valentine’s Day ini, di mana jatuhnya Empayar Islam di Sepanyol dan dalang disebalik peristiwa yang bersejarah ini merupakan paderi Kristian yang bernama Sains Valentine. Dan secara rasminya Valentine’s Day atau Hari Berkasih sayang disambut secara meriahnya pada 14 Februari 1492, di mana mereka seolah-olah menganggap Islam adalah agama yang zalim. Begitu teruknya anggapan mereka terhadap Islam.


Dengan kemodenan yang terus meluncur laju, sambutan Valentine’s Day terus disambut dengan pelbagai cara sehinggakan kerosakan akhlak terus berlaku tanpa rasa sedikit pun terdetik di hati perasaan bersalah. Bermula dengan berpeleseran di antara lelaki dan perempuan di taman-taman atau di jalanan sehinggalah ke kamar tidur di hotel-hotel murahan. Itukah namanya “cinta sejati”? Alangkah runtuhnya akhlak segelintir umat Islam pada hari ini.

InsyaAllah sekiranya kita di berikan kesempatan untuk hidup sehingga hujung tahun ini, dapatlah kita melihat hasilnya nanti dimana kelahiran anak luar nikah, pembuangan bayi yang tidak berdosa dan banyak lagi peristiwa sayu akan berlaku. Itulah hasil dari tipu daya yang selama ini dianggap biasa dan tidak dibendung dengan sebetulnya.

Kisah Valentine’s Day kita berhenti seketika…..

Bercakap soal Memperingati Kelahiran Kekasih Allah, Nabi Muhammad s.a.w, Che Ngah tidak akan mengolah berkenaan cara sambutan sama ada hendak di buat secara berarak keliling kampung mahupun secara besar-besaran.

Che Ngah melihat Rasulullah adalah seorang yang cukup ideal dalam berkasih sayang. Lihatlah bagaimana keperibadian dan kasihnya Rasulullah membuat para sahabat menjadi gundah gulana andainya tidak bertemu walaupun sehari mahupun seketika. Seperti juga para isteri Rasulullah yang di didik dengan kasih sayang agar saling bertolak ansur dan hormat-menghormati. Begitulah indahnya berkasih di dalam Islam. Berkasih di dalam mengharapkan keredhaan Allah Taala.

Kita diberi pilihan sama ada mengikut jalan yang diredhai ataupun jalan yang dimurkai oleh Allah Taala.
Islam tidak melarang umatnya untuk berkasih sayang di antara lelaki dan perempuan tetapi mestilah mengikut jalan yang benar iaitu melalui ikatan perkahwinan yang sah. Lihatlah bagaimana Islam begitu menitik beratkan soal ini agar maruah Islam tidak tercemar dan keturunan kedua belah pihak pula tidak diaibkan akibat daripada perbuatan anak-anak mereka.

Kita perlu mengakui bahawa “romantiknya” berkasih lebih terasa selepas perkahwinan berbanding berkasih melalui cara yang tidak dihalalkan oleh Islam. Romantiknya Rasulullah ketika bersama isteri-isteri baginda dengan tutur katanya, senda guraunya dan keikhlasannya membuatkan kita ingin mengikut seperti apa yang dilakukan oleh Rasulullah.

Bagaimana Rasulullah berkasih sayang di dalam persahabatan, membuatkan para sahabat sanggup mengorbankan nyawa demi insan yang dicintai mereka. Lihatlah Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina Ali dan sahabat-sahabat lain sanggup di pulau, diejek dan cedera di medan perang demi Rasulullah yang mereka cintai. Begitu ikhlasnya persahabatan yang didasarkan atas keimanan dan ketaqwaan.


Tetapi mengapa masih ramai lagi yang buta mata hati, tidak mampu melihat keindahan yang ada pada Islam. Mengapa masih ramai yang takjub dengan mainan oriental-orientalis barat. Sama-sama kita muhasabahkan diri.

Sunday, February 6, 2011

APABILA PEMIMPIN SEKULAR MENASIHATI ULAMAK TENTANG ISLAM


Salam Kebangkitan Rakyat

Dalam beberapa ketika ini, Che Ngah melihat ramai pemimpin yang perjuangannya di atas nama ‘Perkauman” mula bercakap tentang Islam dan hukum malah dengan sukarelanya cuba menasihati golongan ulamak. Che Ngah pun tidak tahu di mana silapnya, “siapa yang patut nasihat siapa”, tetapi mereka ini adalah dahulunya cukup lantang memperlekehkan ayat-ayat Al-Quran yang disampaikan kepada mereka. Bukan setakat itu sahaja, malah mempersenda hukum Allah dengan kata-kata yang boleh membatalkan iman sebagai seorang yang beragama Islam.

Bukan setakat itu sahaja, pemimpin bukan Islam di kalangan penyokong kuat parti sekular mula mempersoalkan akan hukum yang membataskan di antara lelaki dan perempuan. Dan lihatlah sekarang berapa ramai golongan yang di amanahkan untuk menjaga hal ehwal agama berani bersuara menegur pemimpin bukan Islam tersebut dek kerana menjaga periuk nasi melainkan senyap menyepi sahaja. Che Ngah begitu terkilan kerana mereka yang dilantik bukanlah calang-calang orang di dalam bidang agama Islam malah mempunyai jawatan di dalam kerajaan dari seorang menteri sehinggalah pegawai majlis agama Islam sendiri.

Tidakkah kita sebagai orang Islam yang mengucap dua kalimah Syahadah mempertahankan kedaulatan Islam yang sebenar.

Mengangkat Al-Quran dan As-Sunnah sebagai perlembagaan dan cara hidup kita, kenapa mesti dipertahankan juga cara penjajah yang selama ini banyak mendatangkan keburukan dan kerosakan. Mahukah kita melihat Al-Quran dan As-Sunnah diletakkan dibelakang punggung pemimpin yang ada sekarang. Janganlah kita jadikan negara kita seperti Turki yang dipimpin oleh Kamal Ataturk suatu ketika dulu. Walau pengenalannya Islam tetapi cara hidupnya tidak ubah seperti orang-orang kafir.

Sebentar tadi Che Ngah menonton berita Astro Awani, rasa-rasanya hanya Astro Awani boleh dipercayai sumbernya berbanding RTM dan tv3 yang hanya pandai “mengampu” dan “mengipas” kerajaan Barisan Nasional serta menghentam Pakatan Rakyat tidak mempunyai medianya sendiri di TV.

Seorang menteri menasihati seorang ulamak agar tidak mengeluarkan “fatwa songsang”. Tidakkah beliau tahu bahawa fatwa hanya boleh diputuskan hasil dari perbincangan sekumpulan ulamak. Bukankah beliau juga adalah salah seorang yang pernah melakukan perkara khurafat dengan upacara menandakan tiang ancak. Malah kini beliau kini menjadi seorang agamawan bernafsu yang mengambil separuh dari Al-Quran untuk kepentingan diri dan separuh lagi di buang begitu saja. Malang sungguh bagi mereka yang mengangkat beliau sebagai pemimpin.

Dan masa ini, Che Ngah melihat betapa panasnya isu debat yang ditawarkan kepada seorang tok guru. Malah gayung disambut bersahaja oleh tok guru Nik Aziz walaupun kecik tubuhnya tetapi gerak tarinya menggerunkan semua pihak.

Lihat betapa ramainya pahlawan melayu cuba menghayunkan kerisnya, tetapi rebah terguling apabila Al-Quran diangkat martabat menjadi pengadil. Seperti kata pepatah Che Ngah sendiri’, ”jangan jadi seperti ular tedung yang kembang kepala menunggu mangsa, tetapi jadilah seperti ular kapak yang terus mematuk apabila ekornya dipijak”. Itulah keberanian yang ada pada seorang tok guru.

Walau bagaimanpun, Che Ngah hanyalah orang biasa yang mampu melihat dari jauh dan menulis apa yang terbuku di dalam hati yang selama ini dipendam berhari-hari. Kita tunggu dan lihat apa yang bakal ditohmah oleh si pengecut yang bersuara di sebalik media yang ada. Andai “buku bertemu ruas” di situlah titik perdebatan akan berada.

Tuesday, February 1, 2011

NILAI SEBENAR TUDUNG BAGI WANITA

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung.
Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri.
Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.
Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.


Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

Monday, January 24, 2011

ADIK DAN PALESTIN....

Bacalah dan Hayati Setiap Baris Kata Cerita Dibawah.....


Adik bangun pagi. Adik kesat mata. Walid yang kejut adik. Adik mengantuk sangat. Adik tarik gebar semula. Tidur balik. Walid geleng kepala bila nampak adik tidur balik. Walid tepuk belakang adik suruh adik mandi. Lepas mandi adik pakai baju baru. Ummi kata hari ini Hari Raya Aidilfitri. Semua orang pakai baju baru. Tapi adik tengok ummi pakai baju buruk, walid pun pakai baju buruk. Ummi cuma senyum bila adik mengajukan soalan itu. Ummi kata cukuplah adik seorang pakai
baju baru.

Walid pimpin tangan adik pergi masjid. Kami jalan kaki melalui denai-denai kecil. Sepanjang jalan adik dengar takbir raya. Allahu Akbar Allahu Akbar, La ilaha illallah huallahu akbar, Allahu Akbar wallilla hilham.. Adik khusyuk dengar. Merdu. Adik angkat tangan ke telinga,lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya. Walid cuma ketawa kecil melihat gelagat adik. Di persimpangan jalan, kami
bertemu Pak Cik Nassier jiran adik. Adik pandang walid. Walid ralit berbual dengan Pak Cik Nassier. Adik dengar walid berbual tentang syahid, Yassier Arafat dan lain-lain lagi. Nama negara adik pun walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham. Adik cuma mendengar.

Adik tiba di perkarangan masjid. Masjid itu besar,tersergam indah. Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa.Walid pernah beritahu adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Kaabah di Mekah. Masjidil Aqsa juga adalah salah satu tempat suci dalam Islam. Nabi Muhammad pun mengalami peristiwa Israk dan Mikraj di masjid ini. Adik buka kasut dan masuk ke perut masjid. Adik lihat ramai orang. Semuanya
duduk dalam saf. Walid tarik adik duduk di penjuru masjid,kemudian walid solat tahiyatul masjid.Adik ikut walid solat raya. Adik berdiri betul-betul dekat dengan walid. Adik pandang walid. Bila walid angkat tahbiratul ihram adik pun angkat. Mulut walid kumat kamit membaca sesuatu. Adik pun ikut sama walaupun adik tak tahu apa yang adik baca. Walid rukuk,adik rukuk. Walid sujud,adik sujud. Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik. Suasana ketika itu tenang dan damai. Adik suka ketenangan. Adik tarik nafas, hirup dalam-dalam udara pagi. Tiba-tiba ketenangan itu diragut. Adik nampak ramai orang bertempiaran lari.


Adik juga nampak sekumpulan askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid. Adik dengar bunyi kuat. Bunyi tembakan. Walid dukung adik erat sambil
melaungkan takbir Allahu Akbar. Adik takut. Adik pejam mata. Kaki walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti. Pautan tangan walid longgar dan akhirnya terlerai. Adik rasa seperti sekujur tubuh tumbang dan menghenyak adik. Adik pandang belakang. Mata adik terbeliak. Adik nampak tubuh walid. Kepala walid berdarah. Adik menjerit nama walid. Manik-manik jernih bergentayangan dan gugur satu persatu dari tubir kelopak mata adik. Walid pandang adik. Walid cium pipi adik. Walid suruh adik lari. Adik geleng kepala. Adik pegang tangan walid. Adik hendak duduk di sisi walid. Walid senyum pada adik. Mulut walid lemah menutur kalimah syahadah. Adik goyang tubuh
walid. Walid tidak bergerak. Walid kaku. "Waliiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiid!!!!!!!"

Adik kesat air mata. Adik lari kuat-kuat. Adik lari tidak kalih kiri dan kanan. Sampai di rumah, adik terus menangis. Ummi hairan tengok adik. Adik sebut nama walid berkali-kali.

Mayat walid di hantar ke rumah tidak lama selepas itu. Adik masih menangis. Adik tengok ummi cium dahi walid. Ummi peluk adik. Beberapa orang jiran cuba tenangkan ummi. Abang yang duduk di penjuru dinding juga menangis. Abang dah besar. Umur abang enam belas tahun. Abang pergi dekat walid,abang peluk dan cium walid. Selepas sembahyang adik nampak orang angkat walid keluar rumah. Abang pun ikut sama. Adik
tidak ikut. Adik duduk rumah dengan ummi.Adik tanya ummi, mana perginya walid. Diam. Adik tanya lagi sambil menongkat dagu menunggu jawapan daripada mulut ummi. Ummi pandang adik, ummi kata walid pergi ke satu tempat yang sangat cantik. Walid pergi tidak akan kembali lagi. Adik cuma mengangguk.

"Adik nak ikut walid" Ummi geleng kepala dan peluk adik. Adik lap air mata di pipi ummi. Adik senyum, ummi senyum. Petang itu ramai kawan abang datang. Abang ajak mereka ke belakang rumah. Adik berlari-lari anak ikut abang ke belakang. Abang tekun membuat sesuatu. Sesuatu yang menyerupai senapang. Adik cuma duduk diam dan tengok. Kawan-kawan abang pun khusyuk membuat kerja. Adik menguap berkali-kali. Boring duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja. Tidak keletah adik dibuatnya. Mata adik melilau-lilau mencari barang mainan. Adik nampak benda bulat seperti bola. Adik pergi dekat cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan belek. Sedang adik seronok bermain, abang rampas 'bola' adik. Adik masam. Adik tarik muncung
empat belas. Adik marah pada abang. Abang tersenyum melihat tingkah laku adik. Dengan lembut abang mencubit pipi montel adik. Abang beritahu adik yang benda itu bom tangan bukannya bola seperti yang disangka adik. Adik diam, kemudian berlari mendapatkan ummi. Merajuk.

Adik bangun awal pagi itu. Tidak seperti hari-hari lain, walid tidak ada untuk kejut adik. Apabila teringat walid,mata adik berkaca. Adik tidak mahu menangis. Adik orang lelaki. Orang lelaki tidak boleh menanggis, orang lelaki kena kuat dan tabah. Adik nampak abang sedang bersiap-siap. Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat semalam abang bawa. Benda ulat seperti bola pun abang bawa. Kawan-
kawan abang semuanya sedang menungu di depan rumah. Abang cium tangan ummi, minta izin untuk pergi. Ummi peluk abang,cium abang berkali-kali. Adik cuma memandang dengan mata terkebil-kebil. Adik garu kepala yang tidak gatal.


Abang datang dekat adik. Abang dukung adik,usap kepala adik. "Adik jaga ummi ya" pesan abang. "Abang nak pergi mana" tanya adik seperti orang bodoh. "Abang nak pergi berjuang". Abang mengukir senyuman mengakhiri bicara.

Kelibat abang hilang ditelan kabus pagi. Hanya lambaian tangan adik mengiringi pemergian abang. Lepas abang pergi ummi cerita macam-macam perkara pada adik. Pasal Israel, pasal syurga, pasal jihad dan banyak lagi.Semuanya adik tidak faham. "Isra..Israfil." terkial-kial adik menyebut perkataan itu dalam pelat yang pekat. "Bukan Israfil. Israfilkan nama malaikat. Malaikat yang tiup sangka kala. Israel."
Ummi membetulkan sebutan adik. "Is.ra.el" akhirnya adik berjaya menyebutnya juga. Ummi ketawa kecil. Adik ikut ketawa menampakkan sebaris gigi adik yang ronggak. Ummi kata Israel jahat. Israel musuh umat Islam. Israel juga musuh Allah. Israel yang mencetuskan peperangan di bumi Palestin. Israel yang bunuh walid. Adik benci
Israel. Adik benci sesiapa yang menjadi musuh Allah.

Adik lari keluar rumah. Adik pergi ke jalan besar. Ramai kanak-kanak sebaya adik di situ. Mereka semua baling batu kepada sekumpulan tentera yang bersenjata di seberang jalan. Adik ingat lagi, tentera itulah yang bunuh walid. Merekalah Israel. Adik marah. Adik geram. Adik capai batu, adik baling kuat-kuat. Adik pejam mata. Terbayang di kepala adik peristiwa yang menimpa walid. Adik sertai kawan-kawan
adik yang lain; membaling batu.


Kadang-kadang kami lari apabila tentera itu menyerang balas. Ada juga kawan-kawan adik kena tembak. Tumbang satu persatu. Adik nampak baju mereka merah berlumuran darah. Adik lari menyorok di sebalik bangunan usang untuk menyelamatkan diri. Adik lari bersama seorang kawan adik. Namanya Jamal. Dia juga sama dengan adik. Walidnya juga pergi ke suatu tempat yang sangat cantik dan tidak akan kembali lagi. Apabila keadaan semakin reda, adik pulang ke rumah. Adik berjanji dengan Jamal untuk melontarkan batu lagi pada keesokkan harinya.

Sesampai di rumah adik berasa sangat lapar. Adik cari roti di dapur. Adik buka almari, adik cari dalam almari tapi tidak jumpa. Perut adik mula berbunyi minta diisi. Adik sudah makan roti petang tadi tapi adik masih berasa lapar lagi. Adik nampak ummi pegang roti. Itu sajalah satu-satunya roti yang tinggal di rumah kami. Ummi tidak makan apa-apa lagi sejak pagi tadi. Adik pergi dekat ummi. Ummi yang
baru menyuapkan roti ke mulutnya tersentak. Ummi keluarkan semula roti dari mulutnya dan suapkan ke mulut adik. Adik kunyah dengan gelojoh. "Ummi, kenapa kita hidup susah?" adik tanya pada ummi dengan mulut dipenuhi roti. Ummi pangku adik di ribanya. Ummi mengelus lembut rambut adik. "Kita kena sabar sebab sabar itu cantik" ujar ummi perlahan. "Cantik macam syurga ker ummi?" adik tanya lagi. Ummi senyum. "Nabi Muhammad pun hidup susah juga. Baginda dilontar batu ketika menyebarkan dakwah di Taif. Malahan kaum Quraisy ramai yang ingin bunuh nabi. Nabi sabar,nabi tak cepat putus asa" sambung ummi lagi. Adik dengar dengan khusyuk. Adik nak jadi baik macam Nabi Muhammad. Nama adik pun Muhammad. Walid yang cadangkan nama itu.
Walid hendak adik tabah dan cekal macam Nabi Muhammad.

Malam itu adik duduk bersila depan ummi sambil tangan memegang Al-Quran. Adik ikat serban sendiri. Adik lilit serban ikut suka hati adik. Sekejap adik lilit ke kiri, sekejap ke kanan. Kadang-kadang serban itu tutup mata adik. Adik kuak sedikit kain serban ke atas ketika hendak membaca Al-Quran. "Bismillahirrahmanirrahim.."
Adik baca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh. Adik baca kitab Allahbitu dengan tekun. Ummi duduk depan adik sambil memerhati bacaan adik. Adik hendak jadi macam abang. Umur enam tahun sudah khatam Al-Quran. Adik baru umur tiga tahun. Adik kena baca Quran dengan rajin kalau hendak khatam Al-Quran cepat macam abang. Adik ingat pesanan ummi. Ummi kata Al-Quranlah satu-satunya harta yang paling berharga. Adik
ingin baca Al-Quran hari-hari. Adik tidak mahu ponteng baca Al-Quran. Bacaan adik terhenti apabila pintu diketuk dan nama ummi dilaung-laungkan dari luar. "Syukur ya Huda, anakmu Yassin mati syahid"muncul Mak Cik Fatima di depan rumah. "Anakmu,anakmu adalah salah seorang pengebom berani mati ya Huda. Tindakannya menyebabkan tujuh orang askar Israel laknatullah terbunuh. Yassin dan tiga orang lagi pejuang Hizbullah mati syahid. Semoga syurga menanti mereka kelak" terang Mak
Cik Fatima panjang lebar.

Ummi panjatkan doa pada Allah semoga roh abang ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Adik kaget. Nama Israfil.bukan..Israel disebut lagi. Adik benci mendengar nama itu. Kemarahan adik meluap-luap. Ummi beritahu adik abang telah pergi ikut walid. Ummi kata ummi bangga mempunyai anak seperti abang. Adik masuk tidur awal. Adik mimpi satu tempat yang sangat cantik. Adik nampak walid dan abang di sana. Walid dan abang senyum pada adik. Adik cuba kejar mereka tapi semakin adik kejar semakin mereka menghilang.

Keesokkan harinya, adik tunggu Jamal di tepi jalan seperti yang dijanjikan.Lima minit berlalu Jamal tidak muncul-muncul juga. Hampir setengah jam adik tunggu tapi Jamal tetap tidak muncul. Adik tidak suka orang yang mungkir pada janji. Adik ingat lagi, salah satu ciri org munafik ialah mungkir apabila berjanji. Adik tidak mahu jadi munafik. Adik tanya kawan-kawan adik yang lain. Rupa-rupanya Jamal juga seperti walid dan abang. Jamal pergi ke satu tempat yang cantik. Tempat yang adik tidak tahu di mana letaknya. Semua orang yang adik sayang pergi ke tempat itu. Mula-mula walid,kemudian abang dan akhirnya Jamal.



Adik pulang ke rumah awal. Adik terkejut. Terkesima sebentar. Rumah adik dikepung askar Israel. Mereka memang sedang mencari keluarga adik ekoran tindakan berani mati abang mengebom kubu Israel. Tubuh adik yang kecil memudahkan adik menyusup masuk ke dalam rumah. Adik nampak ummi terpelosok di satu sudut. Adik lihat dengan mata adik sendiri, tentera itu tendang ummi. Mereka sepak dan terajang ummi. Tapi ummi masih bersabar. Ummi tidak putus-putus menyebut satu kalimah keramat..Ahad..Ahad. Mata adik merah. Adik menahan marah. Adik tidak suka orang pukul ummi. Adik sayang ummi. dik benci Israel. Seorang tentera Israel mengacukan pistol ke arah ummi. Ummi dengan tenang menghadapinya. Tiada pun segaris garisan gusar terpancar di wajah ummi. Ketika peluru dilepaskan, tiba-tiba.....

"Muhammad!!!!!!!" Ummi menjerit sambil memegang tubuh adik. Badan adik berlumuran darah. Pekat dan merah. Adik raba perut adik. Adik rasa sakit. Sakit yang mencucuk-cucuk. Seketika tadi adik telah korbankan tubuhnya untuk melindungi ummi. Natijahnya peluru itu merobek perut adik yang tidak berdosa. Ummi peluk adik. Ummi menangis semahu-mahunya. Adik cuba senyum pada ummi walaupun perit.


"Ummi...adik rasa mengantuk, adik nak tidur. Adik nak jadi mujahid, adik nak ikut walid dan abang" terketar-ketar suara adik kedengaran di cuping telinga ummi. Ummi angguk, berusaha sedaya upaya untuk menahan air mata daripada jatuh bercucuran.Adik pejam mata. Adik nampak walid, abang dan Jamal melambai-lambai ke arah adik.





APSAL AKU MALAS SEMBAHYANG....???


Apasal la aku malas sembahyang,
Tuhan kasi aku jasad siap dengan bayang-bayang
Bukan ke lebih beruntung daripada tiang
Berdiri tanpa roh malam siang...

Apasal la aku malas sembahyang
Kerja dah best keluarga pun dah senang
Negara pun dah aman tidak lagi hidup berdagang
Takkan lima minit lima waktu aku tak boleh luang..

Apasal la aku malas sembahyang
Tuhan kasi otak supaya aku tak bangang,
Tuhan kasi ilmu boleh fikir susah senang
Tuhan kasi nikmat kenapa aku tak kenang...

Apasal la aku malas sembahyang
Main bola aku sanggup sampai petang
Beli tiket konsert aku sanggup beratur panjang
Apa la aku ingat masuk syurga boleh hutang...?

Apasal la aku malas sembahyang
Aku kena ingat umur kita bukannya panjang
Pagi kita sihat petang boleh kejang
Nanti dalam kubur kena balun sorang - sorang....

Apasal la aku malas sembahyang
Siksa neraka cuba la aku bayang
Perjalanan akhirat memang terlalu panjang
Janji Allah Taala akan tertunai tak siapa boleh halang!!!

JUGA.......
Telah bersabda Rasulullah saw, yang bermaksud:

Enam perkara yang dipandang asing di enam tempat, iaitu:

1. Masjid adalah asing di kalangan orang-orang yang tidak sembahyang di dalamnya.
2. Al-Quran adalah asing di rumah orang-orang yang tidak mahu membacanya.
3. Al-Quran juga adalah asing di dalam hati orang-orang yang fasik (iaitu orang-orang yang tidak mahu mengamalkan isinya).
4. Seorang muslimah yang soleh dipandang asing di sisi lelaki yang zalim, yang buruk perangainya.
5. Lelaki muslim yang soleh adalah asing di samping perempuan yang hina, yang buruk akhlaknya.
6. Dan... orang alim adalah asing di kalangan kaum yang tidak mahu mendengar nasihatnya.


Kemudian Nabi Muhammad saw bersabda:

" Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memandang mereka di hari kiamat dengan pandangan kasihan."


Thursday, January 20, 2011

Apa Pesanan Nabi Pada Haji Wadak??

Memang benar dalam haji wadak, Rasulullah s.a.w telah menyampaikan khutbah pada hari wukuf di Padang Arafah, yang dihadiri oleh 144,000 orang Islam. Mereka bersama-sama dengan Nabi s.a.w menunaikan haji dan haji tersebut terkenal dengan haji wadak.



Baginda telah memerintah agar tunggangannya yang bernama al-qaswak berhenti dan menggunakannya sebagai tempat duduk beliau.

Kandungan khutbah yang disampaikan oleh Nabi s.a.w adalah (mafhumnya): “Wahai sekalian manusia dengarlah kata-kataku ini. Sesungguhnya aku tidak tahu, apakah ada kemungkinan kita akan berjumpa lagi di tempat ini di tahun-tahun ke hadapan atau kita akan berpisah selama-lamanya.

Ingatlah sesungguhnya darah kamu dan harta kamu adalah haram ke atas kamu, sama seperti haramnya hari kamu ini, di bulan kamu ini dan di bumi kamu seperti ini.

Ketahuilah sekalian, bahawa semua perkara mengenai budaya jahiliah, cara hidup jahiliah tertanam di bawah kakiku ini.

Darah-darah jahiliah atau tuntut bela jahiliah, adalah tertanam di bawahku ini. Dan tuntut bela jahiliah yang mula-mula sekali aku hapuskan tuntut bela Ibnu Rabi’ah bin al-Harith, di mana kejadian berlaku, semasa beliau mengambil susuan daripada ibu susuannya Bani Saad.

Dan amalan riba jahiliah, kutanam di bawah kaki ku ini. Dan riba pertama yang ku hapuskan ialah riba bapa saudaraku, Abbas bin Abdul Mutalib. Malah semua riba dihapuskan sama sekali.

Bertakwalah kamu kepada Allah, demi melaksanakan hak golongan wanita lantaran kamu telah mengambil mereka sebagai pasangan (isteri) dengan amanah Allah.

Kamu dihalalkan bersekedudukan dengan mereka, menerusi sebutan Allah Azzawajalla dan wanita pula berkewajipan menjaga supaya tidak seorang pun yang kamu benci, dibenarkan masuk ke bilik kamu dan mencemarkan rumah tanggamu.

Sekiranya mereka berbuat demikian, maka hukumlah dengan hukuman yang setimpal, tetapi jangan berlebih-lebihan ke atas mereka.

Kamu berkewajipan member rezeki, makanan dan pakaian, tempat tinggal dan apa sahaja keperluan dengan sebaik-baiknya.


Sesungguhnya telah kutinggalkan kepada kamu sesuatu, supaya kamu tidak akan sesat selepas ini selama-lamanya.
Sekiranya kamu berpeganglah kepada kedua-duanya, kitab Allah dan sunnahku.

Wahai manusia, sesungguhnya tiada Nabi selepas ku ini, dan tiada umat lain selain umat kamu ini. Beringatlah supaya kamu menyembah Allah senantiasa.

Tunaikan solat fardhu lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan secukupnya, tunaikanlah harta zakat kamu dengan penuh kerelaan kamu, kerjakanlah haji ke rumah Allah dan taatilah pemerintah-pemerintah daripada kalangan kamu, nescaya masuklah kamu ke dalam syurga Tuhanmu.

Sudahkah aku sampaikan pesan, Ya Allah Kau saksikanlah.
Kamu akan disaksikan esok mengenai perihal diriku, maka aku apa yang hendak kamu jawab tentang diriku?
(Maka kata umat Islam yang berada di hadapan Nabi Muhammad) “Kami menyaksikan engkau Ya Rasulullah, telah menasihatkan, menunaikan nasihat daripada kami semuanya.”

(Dengan mengangkat jari telunjuk ke atas langit dan menurunkannya kearah bumi di hadapan sekalian umat, Nabi s.a.w bersabda) “Ya Allah, Ya Tuhanku, Kau saksikanlah, Ya Tuahnku, Kau saksikanlah.”

Demikian khutbah yang Nabi s.a.w lafazkan dalam hajjatul wadak. Wallahua’lam.




Soal Jawab bersama Tuan Guru Dr. Haron Din