Tuesday, February 15, 2011

Rasulullah saw Pencetus Transformasi Ummah

Perutusan Maulidurrasul saw 1432H- USTAZ NASRUDIN HASSAN AT-TANTAWI



1. Dunia ini pernah gelap gelita tanpa cahaya hidayah. Penghuninya hidup berpelitakan nafsu dan syahwat. Sang perkasa menindas marhaen sementara sikaya menguasai fuqara' . Manusia berpetualang dengan hukum rimba. Tiada nilai kemanusiaan jauh sekali nilai intergriti . Arak membuih merosakkan aqal, pelacur dilanggan meruntuhkan maruah. Penipuan dan penindas menjadi rutin bermasyarakat. Siapa licik dialah cerdik. Kualiti orang kenamaan mereka terletak pada ketajaman lidah yang mampu melukakan hati dan perasaan insan yang lain.

2. Dunia kala itu dijolok sebagai jahiliyah. Biar kaya, biar pandai, biar kuat, biar berkuasa penghuninya, namun mereka adalah jahiliyyah. Justeru mereka tiada pedoman dan terhindar dari petunjuk Tuhan yang Mencipta, agar hidup mereka sejahtera, harmoni, aman, selamat dan bahagia.

3. Kasih sayang dan kasihan belas Tuhan yang Maha Pencipta telah mengutuskan Muhammad saw sebagai Rasul ummah untuk membawa satu perubahan dasar dan prinsip yang utama dalam kehidupan manusia. Berbekalkan Kitab Petunjuk [Al Quranul Karim] dan kemuliaan peribadi [akhlak] , Rasul al Amin ini meredah cabaran dan halangan yang bertolak dari dendam Yahudi dan Nasara serta kebodohan golongan Musyrikin .

4. Rasulullah saw hadhir sebagai Duta Penyelamat dan Kasih sayang bersama agenda menyelamatkan ummah dari murka Allah swt sekaligus mengangkat martabat kemanusiaan mereka agar tidak lagi terperangkap di bawah tempurung jahiliyyah. Sekurang - kurangnya 10 agenda perubahan besar digerakkan oleh Rasulullah saw :

Pertama : Aspek Aqidah, dari syirik kepada tauhid
Kedua : Aspek Akhlak, dari fasiq kepada soleh
Ketiga : Aspek Ideologi, dari jahiliyyah kepada Islam
Keempat : Aspek Tamadun, dari hamba kepada daulat
Kelima : Aspek Sosial, dari bathil kepada haq
Keenam : Aspek Pemerintahan, dari zalim kepada adil.
Ketujuh : Aspek Ekonomi, dari monopoli kepada agihan
Kelapan : Aspek Politik, dari rakus kepada kesaksamaan
Kesembilan : Aspek Ilmu,dari jahil kepada membaca [alim]
Kesepuluh : Aspek Kekeluargaan, dari kebencian kepada kasih sayang [mawaddah]

5. Menggerakkan agenda perubahan ini, Rasulullah saw berdepan dengan 1001 tekanan dan ancaman seperti :
buang daerah
penjara
bunuh
sukar
jauh perjalanan.
Namun Rasulullah saw tidak pernah menyerah kalah sebaliknya mengorbankan segalanya demi melihat tercetusnya satu perubahan besar dalam hidup masyarakat jahiliyyah pada waktu itu.

6. Pelbagai pendekatan dan kaedah dakwah digerakkan oleh Rasulullah saw untuk meledak satu kebangkitan total dari ummat manusia agar berani dan nekad untuk bangkit menolak cara hidup 'lama" yang bergelumang dengan rasuah, riba, arak, judi, khurafat, penindasan, kezaliman, penipuan dan 1001 kepincangan hidup yang tidak berlandaskan sistem moral yang baik.

7. Rasulullah saw terpaksa menelan segala kepahitan berjuang, sungguhpun demikian Baginda saw tidak pernah mengalah justeru menyedari bahawa inilah sunnatullah dalam perjuangan untuk mendaulatkan syariat Allah swt. Nabi - nabi terdahulu telah melakar sejarah dalam episod perjuangan mereka yang matlamat dan cabarannya serupa untuk mentauhidkan Allah Jalla wa A'ala.

8. Sempena menyambut ulangtahun keputeraan Rasul saw, sayugianya kita menghayati ruh perjuangan Baginda saw dalam menggerakkan kesedaran dan membangkitkan keinsafan menolak regim jahiliyyah moden yang masih mengekalkan warisan jahiliyah kuno dalam corak kehidupan hari ini.

9. Mudahnya menafsirkan asas perjuangan Baginda saw ialah menentang mungkar dan menegakkan syariat dengan dakwah yang penuh hikmah. Sementara kemungkaran itu bukan sahaja pada keruntuhan moral seperti pergaulan dan seks bebas tetapi juga kemungkaran di dalam ekonomi yang memerangkap masyarakat dalam riba, rasuah, monopoli dan lingkaran kekayaan negara dikalangan pembesar. Kemungkaran juga berlaku dalam politik seperti penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan amanah rakyat.

10. Negara kita turut menerima kesan tempias dengan kemungkaran - kemungkaran tersebut. Oleh kerana terlalu lama membiarkan ia berlaku sehingga mengjangkau lebih 50 tahun sejak negara ini merdeka, akhirnya tempias itu telah membuatkan negara kita kini basah kuyup dengan kemungkaran tersebut. Ummat yang menyambut ulangtahun keputeraan Rasul saw mesti bangkit menjiwai dan melandasi perjuangan Rasul saw meledak gelombang perubahan total ke arah peradaban yang diredhai oleh Allah swt. Tidak hanya berselawat dan berarak dengan sampin dan tanjak yang tidak mempunyai nilai sebuah transformasi.

Wednesday, February 9, 2011

Mengapa Valentine Disanjung tetapi bukan Keperibadian Rasulullah Dijunjung?


Sebut saja bila tarikh Valentine’s Day,??
Untuk apa Valentine’s Day ini disambut??
Hadiah apa untuk diberikan kepada kekasih tahun nie??
Jawapannya sememang telah ada pada setiap mereka yang begitu mementing hari keramat palsu ini.

Begitulah betapa dasyatnya penangan Valentine’s Day yang telah lama menular di kalangan masyarakat kita terutamanya mereka yang beragama Islam. Itulah tipu daya orientalis-orientalis barat agar kita sentiasa menerima tanpa berfikir di sebalik ini semua. Cukup licik sekali mainan mereka sehinggakan kita menganggap Velentine’ Day hanyalah tanda kita menghargai orang yang kita sayang dengan sekadar memberi sejambak bunga, saling betukar kad ucapan, memberi hadiah berupa coklat yang dihiasi perasaan cinta, dan lain-lain lagi.

Bagi Che Ngah, tahun 2011 ini begitu menarik sekali kerana suatu pertembungan yang tidak pernah dijangka oleh sesiapa pun. Itulah dia Valentine’s Day mengikut kiraan Masihi dan Memperingati Kelahiran Kekasih Allah, Nabi Muhammad s.a.w mengikut kiraan Hijr. Agak menarik juga apabila media tidak dapat mempromosi Valentine’s Day secara komersial seperti tahun-tahun yang lepas dan begitu terkilan apabila usaha untuk mengajak masyarakat mencontohi keperibadian Rasulullah hanya sekadar melepas batuk di tangga atau dengan bahasa mudahnya “ala kadar saje”.

Mungkin ramai diantara kita sudah tahu sejarah di sebalik Valentine’s Day ini, di mana jatuhnya Empayar Islam di Sepanyol dan dalang disebalik peristiwa yang bersejarah ini merupakan paderi Kristian yang bernama Sains Valentine. Dan secara rasminya Valentine’s Day atau Hari Berkasih sayang disambut secara meriahnya pada 14 Februari 1492, di mana mereka seolah-olah menganggap Islam adalah agama yang zalim. Begitu teruknya anggapan mereka terhadap Islam.


Dengan kemodenan yang terus meluncur laju, sambutan Valentine’s Day terus disambut dengan pelbagai cara sehinggakan kerosakan akhlak terus berlaku tanpa rasa sedikit pun terdetik di hati perasaan bersalah. Bermula dengan berpeleseran di antara lelaki dan perempuan di taman-taman atau di jalanan sehinggalah ke kamar tidur di hotel-hotel murahan. Itukah namanya “cinta sejati”? Alangkah runtuhnya akhlak segelintir umat Islam pada hari ini.

InsyaAllah sekiranya kita di berikan kesempatan untuk hidup sehingga hujung tahun ini, dapatlah kita melihat hasilnya nanti dimana kelahiran anak luar nikah, pembuangan bayi yang tidak berdosa dan banyak lagi peristiwa sayu akan berlaku. Itulah hasil dari tipu daya yang selama ini dianggap biasa dan tidak dibendung dengan sebetulnya.

Kisah Valentine’s Day kita berhenti seketika…..

Bercakap soal Memperingati Kelahiran Kekasih Allah, Nabi Muhammad s.a.w, Che Ngah tidak akan mengolah berkenaan cara sambutan sama ada hendak di buat secara berarak keliling kampung mahupun secara besar-besaran.

Che Ngah melihat Rasulullah adalah seorang yang cukup ideal dalam berkasih sayang. Lihatlah bagaimana keperibadian dan kasihnya Rasulullah membuat para sahabat menjadi gundah gulana andainya tidak bertemu walaupun sehari mahupun seketika. Seperti juga para isteri Rasulullah yang di didik dengan kasih sayang agar saling bertolak ansur dan hormat-menghormati. Begitulah indahnya berkasih di dalam Islam. Berkasih di dalam mengharapkan keredhaan Allah Taala.

Kita diberi pilihan sama ada mengikut jalan yang diredhai ataupun jalan yang dimurkai oleh Allah Taala.
Islam tidak melarang umatnya untuk berkasih sayang di antara lelaki dan perempuan tetapi mestilah mengikut jalan yang benar iaitu melalui ikatan perkahwinan yang sah. Lihatlah bagaimana Islam begitu menitik beratkan soal ini agar maruah Islam tidak tercemar dan keturunan kedua belah pihak pula tidak diaibkan akibat daripada perbuatan anak-anak mereka.

Kita perlu mengakui bahawa “romantiknya” berkasih lebih terasa selepas perkahwinan berbanding berkasih melalui cara yang tidak dihalalkan oleh Islam. Romantiknya Rasulullah ketika bersama isteri-isteri baginda dengan tutur katanya, senda guraunya dan keikhlasannya membuatkan kita ingin mengikut seperti apa yang dilakukan oleh Rasulullah.

Bagaimana Rasulullah berkasih sayang di dalam persahabatan, membuatkan para sahabat sanggup mengorbankan nyawa demi insan yang dicintai mereka. Lihatlah Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina Ali dan sahabat-sahabat lain sanggup di pulau, diejek dan cedera di medan perang demi Rasulullah yang mereka cintai. Begitu ikhlasnya persahabatan yang didasarkan atas keimanan dan ketaqwaan.


Tetapi mengapa masih ramai lagi yang buta mata hati, tidak mampu melihat keindahan yang ada pada Islam. Mengapa masih ramai yang takjub dengan mainan oriental-orientalis barat. Sama-sama kita muhasabahkan diri.

Sunday, February 6, 2011

APABILA PEMIMPIN SEKULAR MENASIHATI ULAMAK TENTANG ISLAM


Salam Kebangkitan Rakyat

Dalam beberapa ketika ini, Che Ngah melihat ramai pemimpin yang perjuangannya di atas nama ‘Perkauman” mula bercakap tentang Islam dan hukum malah dengan sukarelanya cuba menasihati golongan ulamak. Che Ngah pun tidak tahu di mana silapnya, “siapa yang patut nasihat siapa”, tetapi mereka ini adalah dahulunya cukup lantang memperlekehkan ayat-ayat Al-Quran yang disampaikan kepada mereka. Bukan setakat itu sahaja, malah mempersenda hukum Allah dengan kata-kata yang boleh membatalkan iman sebagai seorang yang beragama Islam.

Bukan setakat itu sahaja, pemimpin bukan Islam di kalangan penyokong kuat parti sekular mula mempersoalkan akan hukum yang membataskan di antara lelaki dan perempuan. Dan lihatlah sekarang berapa ramai golongan yang di amanahkan untuk menjaga hal ehwal agama berani bersuara menegur pemimpin bukan Islam tersebut dek kerana menjaga periuk nasi melainkan senyap menyepi sahaja. Che Ngah begitu terkilan kerana mereka yang dilantik bukanlah calang-calang orang di dalam bidang agama Islam malah mempunyai jawatan di dalam kerajaan dari seorang menteri sehinggalah pegawai majlis agama Islam sendiri.

Tidakkah kita sebagai orang Islam yang mengucap dua kalimah Syahadah mempertahankan kedaulatan Islam yang sebenar.

Mengangkat Al-Quran dan As-Sunnah sebagai perlembagaan dan cara hidup kita, kenapa mesti dipertahankan juga cara penjajah yang selama ini banyak mendatangkan keburukan dan kerosakan. Mahukah kita melihat Al-Quran dan As-Sunnah diletakkan dibelakang punggung pemimpin yang ada sekarang. Janganlah kita jadikan negara kita seperti Turki yang dipimpin oleh Kamal Ataturk suatu ketika dulu. Walau pengenalannya Islam tetapi cara hidupnya tidak ubah seperti orang-orang kafir.

Sebentar tadi Che Ngah menonton berita Astro Awani, rasa-rasanya hanya Astro Awani boleh dipercayai sumbernya berbanding RTM dan tv3 yang hanya pandai “mengampu” dan “mengipas” kerajaan Barisan Nasional serta menghentam Pakatan Rakyat tidak mempunyai medianya sendiri di TV.

Seorang menteri menasihati seorang ulamak agar tidak mengeluarkan “fatwa songsang”. Tidakkah beliau tahu bahawa fatwa hanya boleh diputuskan hasil dari perbincangan sekumpulan ulamak. Bukankah beliau juga adalah salah seorang yang pernah melakukan perkara khurafat dengan upacara menandakan tiang ancak. Malah kini beliau kini menjadi seorang agamawan bernafsu yang mengambil separuh dari Al-Quran untuk kepentingan diri dan separuh lagi di buang begitu saja. Malang sungguh bagi mereka yang mengangkat beliau sebagai pemimpin.

Dan masa ini, Che Ngah melihat betapa panasnya isu debat yang ditawarkan kepada seorang tok guru. Malah gayung disambut bersahaja oleh tok guru Nik Aziz walaupun kecik tubuhnya tetapi gerak tarinya menggerunkan semua pihak.

Lihat betapa ramainya pahlawan melayu cuba menghayunkan kerisnya, tetapi rebah terguling apabila Al-Quran diangkat martabat menjadi pengadil. Seperti kata pepatah Che Ngah sendiri’, ”jangan jadi seperti ular tedung yang kembang kepala menunggu mangsa, tetapi jadilah seperti ular kapak yang terus mematuk apabila ekornya dipijak”. Itulah keberanian yang ada pada seorang tok guru.

Walau bagaimanpun, Che Ngah hanyalah orang biasa yang mampu melihat dari jauh dan menulis apa yang terbuku di dalam hati yang selama ini dipendam berhari-hari. Kita tunggu dan lihat apa yang bakal ditohmah oleh si pengecut yang bersuara di sebalik media yang ada. Andai “buku bertemu ruas” di situlah titik perdebatan akan berada.

Tuesday, February 1, 2011

NILAI SEBENAR TUDUNG BAGI WANITA

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung.
Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri.
Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.
Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.


Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.