Thursday, January 20, 2011

Apa Pesanan Nabi Pada Haji Wadak??

Memang benar dalam haji wadak, Rasulullah s.a.w telah menyampaikan khutbah pada hari wukuf di Padang Arafah, yang dihadiri oleh 144,000 orang Islam. Mereka bersama-sama dengan Nabi s.a.w menunaikan haji dan haji tersebut terkenal dengan haji wadak.



Baginda telah memerintah agar tunggangannya yang bernama al-qaswak berhenti dan menggunakannya sebagai tempat duduk beliau.

Kandungan khutbah yang disampaikan oleh Nabi s.a.w adalah (mafhumnya): “Wahai sekalian manusia dengarlah kata-kataku ini. Sesungguhnya aku tidak tahu, apakah ada kemungkinan kita akan berjumpa lagi di tempat ini di tahun-tahun ke hadapan atau kita akan berpisah selama-lamanya.

Ingatlah sesungguhnya darah kamu dan harta kamu adalah haram ke atas kamu, sama seperti haramnya hari kamu ini, di bulan kamu ini dan di bumi kamu seperti ini.

Ketahuilah sekalian, bahawa semua perkara mengenai budaya jahiliah, cara hidup jahiliah tertanam di bawah kakiku ini.

Darah-darah jahiliah atau tuntut bela jahiliah, adalah tertanam di bawahku ini. Dan tuntut bela jahiliah yang mula-mula sekali aku hapuskan tuntut bela Ibnu Rabi’ah bin al-Harith, di mana kejadian berlaku, semasa beliau mengambil susuan daripada ibu susuannya Bani Saad.

Dan amalan riba jahiliah, kutanam di bawah kaki ku ini. Dan riba pertama yang ku hapuskan ialah riba bapa saudaraku, Abbas bin Abdul Mutalib. Malah semua riba dihapuskan sama sekali.

Bertakwalah kamu kepada Allah, demi melaksanakan hak golongan wanita lantaran kamu telah mengambil mereka sebagai pasangan (isteri) dengan amanah Allah.

Kamu dihalalkan bersekedudukan dengan mereka, menerusi sebutan Allah Azzawajalla dan wanita pula berkewajipan menjaga supaya tidak seorang pun yang kamu benci, dibenarkan masuk ke bilik kamu dan mencemarkan rumah tanggamu.

Sekiranya mereka berbuat demikian, maka hukumlah dengan hukuman yang setimpal, tetapi jangan berlebih-lebihan ke atas mereka.

Kamu berkewajipan member rezeki, makanan dan pakaian, tempat tinggal dan apa sahaja keperluan dengan sebaik-baiknya.


Sesungguhnya telah kutinggalkan kepada kamu sesuatu, supaya kamu tidak akan sesat selepas ini selama-lamanya.
Sekiranya kamu berpeganglah kepada kedua-duanya, kitab Allah dan sunnahku.

Wahai manusia, sesungguhnya tiada Nabi selepas ku ini, dan tiada umat lain selain umat kamu ini. Beringatlah supaya kamu menyembah Allah senantiasa.

Tunaikan solat fardhu lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan secukupnya, tunaikanlah harta zakat kamu dengan penuh kerelaan kamu, kerjakanlah haji ke rumah Allah dan taatilah pemerintah-pemerintah daripada kalangan kamu, nescaya masuklah kamu ke dalam syurga Tuhanmu.

Sudahkah aku sampaikan pesan, Ya Allah Kau saksikanlah.
Kamu akan disaksikan esok mengenai perihal diriku, maka aku apa yang hendak kamu jawab tentang diriku?
(Maka kata umat Islam yang berada di hadapan Nabi Muhammad) “Kami menyaksikan engkau Ya Rasulullah, telah menasihatkan, menunaikan nasihat daripada kami semuanya.”

(Dengan mengangkat jari telunjuk ke atas langit dan menurunkannya kearah bumi di hadapan sekalian umat, Nabi s.a.w bersabda) “Ya Allah, Ya Tuhanku, Kau saksikanlah, Ya Tuahnku, Kau saksikanlah.”

Demikian khutbah yang Nabi s.a.w lafazkan dalam hajjatul wadak. Wallahua’lam.




Soal Jawab bersama Tuan Guru Dr. Haron Din

No comments:

Post a Comment