Wednesday, January 19, 2011

JANGAN KHIANATI KESETIAAN DALAM PERSAHABATAN


Antara adab persahabatan ialah bersikap setia yang ikhlas perlu dijaga, jangan terputus serta khianat menikam kawan dari belakang.

Kesetiaan ialah perasaan ialah perasaan kasih yang berpanjangan hingga ke akhir hayat. Kasih itu tahapnya di atas daripada sayang, setiap itu disayangi belum tentu dikasihi.

Contohnya seperti kehilangan sejumlah wang. Setelah dicari tidak ditemui namun tidak sampai terkenang-kenang, berertia ia tiada kasih pada wang, hilang itu sekadar sayang sahaja.
Jika ditemui semula bersyukur kepada Allah SWT, jika tidak ditemui dianggap sebagai ujian kepadanya agar bersabar.

Kasih kepada sahabat setelah ketiadaannya, hendaklah dilanjutkan hubungan kasih sayang, kepada kaum keluarga sahabat handai yang terdekat. Terutamana sahabat seperjuangan dalam menegakkan kebenaran Islam.

Seseorang amat mustahak mempunyai kawan sama ada jauh atau dekat. Kerana segala masalah yang berbangkit semestinya lebih mudah berbincang dengan sahabat, yang mempunyai kasih dan akrab.Kesetiaan dalam persahabatan perlu berkekalan, kerana ia bermatlamatkan untuk kepentingan akhirat.

Sebarang kerja di dunia ini tidak berakhir sekadar di dunia sahaja, sebaliknya akan berlarutan hingga ke akhirat. Sentiasa saling memerlukan agar mendapat manfaat daripada persahabatan ini khususnya di alam akhirat.

Oleh itu sekiranya putus persahabatan sebelum kembali ke pangkuan Ilahi, musnahlah usaha yang dilakukan dan sia-sia penat lelah selama ini. Justeru apabila bersahabat, maka berusaha sedaya mungkin, agar berpanjangan hingga ke akhir hayat.


Bepesanlah kepada keluarga dan anak-anak, supaya meneruskan hubungan persahabatan tersebut.
Terdapat riwayat bahawa Nabi s.a.w. terlalu hormat pada seorang wanita tua sedangkan bukan warisnya. Wanita itu yang sering mengunjunginya.
Seorang sahabat bertanya: “Saya perhati Rasulullahs.a.w. terlalu hormat wanita tua itu, apakah cerita dan sebab disebaliknya?”
Jawab Nabi s.a.w.: “Semasa Siti Khadijah masih hidup, wanita tua itu sering berkunjung ke rumah. Sekali sekala dia berkunjung juga setelah Siti Khadijah meninggal dunia. Aku pun menghormatinya sebagaimana Khadijah menghormati beliau. Justeru penghormatan kepada orang yang bersahabat lama dengan keluarga kita, adalah ajaran agama.”

Setengah daripada tanda seseorang itu setia dengan sahabat, ialah hormat dan merai semua temannya serta kaum keluarga dan kerabat handainya. Kerana yang demikian itu menjadi dalil di atas kasihan belas dan kasih sayangnya.

Setengah daripada faedah bersahabat kerana Allah SWT yang menerbitkan mawaddah itu. Sama sekali jangan berangkai dengan sifat hasad dengki, mahupun dari segi keduaniaan apatah lagi agama.
Tidak terfikir bagaimana boleh berlaku perbuatan dengki dalam persahabatan, kerana sebarang benda yang ada pada kawan itu faedahnya bukan sekadar untuk dirinya sendiri bahkan untuk kita juga.

Apabila seseorang berdengki dengan sahabatnya, menunjukkan persahabatan itu tidak kerana Allah SWT. Bahkan kerana kepentingan diri dan kepentingan duniawi. Orang bersikap demikian amat dikutuk oleh ahli dunia lebih-lebih lagi ahli akhirat.

Mengenai orang yang tidak berdengki ketika bersahabat, dinyatakan oleh firmanNya dalam Al-Quran serta memujinya yang bermaksud: “Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan.” (Surah Al-Hasyr : ayat 9)

Ayat itu menegaskan sifat “itsar”, mengutamakan orang lain lebih dari sendiri, yang dimiliki oleh golongan Ansar Madinah.

Setengah daripada tanda setia ialah keadaan seseorang itu tidak berubah sikap, dalam hubungan dengan sahabatnya sekalipun taraf ekonominya dan kedudukannya telah meningkat, disebabkan pangkat serta pengaruhnya kian besar dan meluas dalam masyarakat.

Dan setengah daripada tanda hati tidak baik dalam bersahabat ialah cepat terjadi perubahan sikap, daripada merendah diri kepada membanggakan diri. Lantaran berlaku perubahan dalam hidupnya, daripada miskin kepada hartawan dan seumpamanya.

Orang yang jenis hati mulia ialah andainya Tuhan kurniakan dia kemewahan atau kesenangan, dia tidak lupa kepada orang yang bersamanya ketika dalam menempuh penderitaan dahulu. Demikianlah kata-kata syair budiman.
Hubungan persahabatannya berjalan seperti lazimnya tidak berubah, malah tetap hormat kepada mereka sesama miskin dahulu.

Meskipun kehidupannya telah mewah lantaran harta kekayaannya melimpah, kedudukan pangkat sudah jadi golongan ternama. Demikianlah tanda setia dalam bersahabat.
Kehidupan tidak semestinya kekal mewah, seperti roda ada ketika ke atas, tiba ketikanya merudum ke bawah disebabkan suatu musibah.

Jika kedudukan di atas dia lupa kawan-kawan ketika susah, andainya kehidupannya jatuh tersungkur; dengan siapa dia harus berkawan?
Oleh itu, hubungan seseorang dengan kawan-kawanlamanya, terutama kawan ketika sesama menderita dahulu, agar persahabatan dahulu sentiasalah jalin silaturrahim, agar persahabatan sentiasa diberkati Allah SWT.



MAUIDZAH
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

No comments:

Post a Comment